Wednesday 3 August 2016

Karangan Bahagian B : Kepentingan Rumah Terbuka

KARANGAN : BAHAGIAN B
TEAM A- : Iezlan, Syahmie, Firdaus A, Naim, Hafiz (5AK1)

SOALAN:
Rumah terbuka kini telah menjadi amalan masyarakat pada musim perayaan. Huraikan kepentingan amalan rumah terbuka kepada masyarakat dan Negara.

Fokus Utama : kepentingan amalan rumah terbuka
Fokus Sampingan : kepada masyarakat dan Negara
Isi :
(1) Masyarakat :        
-memupuk perpaduan kaum (syahmie)
            -mengeratkan silaturrahim (iezlan)
            -memupuk semangat kerjasama, toleransi
(2) Negara :
            -menarik perhatian pelancong (hafiz)
            -memperkenalkan budaya dan adat resam (firdaus a)
            -meningkatkan imej Negara

Sampel Karangan A-
            Dalam meniti ranjau kehidupan yang penuh dengan pancaroba ini, rumah terbuka sudah menjadi lumrah pada sambutan perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya Deepavali dan Hari Raya Aidilfitri. Perayaan-perayaan ini seakan-akan tidak pernah engsot dari bibir masyarakat, bak kata pepatah, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Pada tahun 2000, kerajaan Malaysia telah memutuskan sebanyak enam perayaan kaum atau agama dianggap sebagai perayaan utama negara yang diraikan julung-julung kalinya di peringkat kebangsaan anjuran bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Dengan adanya rumah terbuka, mudahlah seseorang itu untuk mengunjungi rumah saudara-mara, jiran-jiran dan rakan-rakan kerana tarikh dan masanya sudah ditetapkan. Persoalan yang menerjah dan menerawang dalam bidang ini ialah ‘Apakah kepentingan amalan rumah terbuka kepada masyarakat dan Negara?’. Oleh hal yang demikian, hal ini pasti akan mewujudkan masyarakat yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni seperti kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

            Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa kepentingan amalan rumah terbuka ialah memupuk perpaduan kaum dalam kalangan anggota masyarakat di Negara kita. Hal ini demikian kerana perpaduan yang terjalin sekaligus dapat memudahkan pencapaian matlamat atau misi dan visi Negara dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara bangsa. Sebagai analoginya, semasa menghadiri rumah terbuka tersebut para tetamu yang hadir akan beramah mesra dengan tetamu yang lain. Jadi, sudah tentu perkara ini akan membolehkan mereka berbual mesra dan saling memahami antara satu sama lain. Selain itu, amalan rumah terbuka memberikan makna yang besar kepada anggota masyarakat mengenai erti perpaduan yang harus wujud untuk mengelakkan sebarang prejudis terhadap keharmonian kaum. Amalan ini juga dilihat sebagai salah satu pertemuan yang melupakan pertentangan pendapat, perbezaan ideologi, perbezaan konsep politik mahupun berlainan parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan. Di samping menjamu selera, secara tidak langsung perpaduan dan persefahaman antara tetamu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang ini akan dapat dimantapkan. Persis kata peribahasa melayu, tak kenal maka tak cinta. Jelaslah, memupuk perpaduan kaum merupakan kepentingan amalan rumah terbuka kepada masyarakat di Negara kita.

            Bagi melanjutkan huraian yang telah dibincangkan di atas, ayuh kita capahkan lensa perbincangan kita kepada sikap yang lebih khusus di bawah kata kunci amalan rumah terbuka dapat merapatkan hubungan silaturrahim dalam hubungan masyarakat di Negara kita. Hal ini boleh membuktikan lagi bahawa rumah terbuka merupakan amalan keadaan pertemuan yang paling sesuai untuk memperkukuhkan hubungan silaturrahim antara masyarakat dan Negara. Fenomena seperti ini amat dititikberatkan agar amalan rumah terbuka ini akan sentiasa kukuh dan padu, bukannya semakin layu dan pudar. Tanpa konsep rumah terbuka ini, hubungan silaturrahim dan perpaduan akan terhakis sedikit demi sedikit dan tidak mustahil amalan rumah terbuka ini hilang ditelan pupus ke generasi akan datang dan sekaligus akan menyebabkan generasi akan datang tidak mengenali sanak-saudara mereka. Hubungan silaturrahim antara masyarakat akan terjalin kerana apabila mereka menghadiri majlis rumah terbuka, mereka akan beramah mesra dan sekaligus mereka akan mengenali antara satu sama lain. Dalam masa yang sama juga, reality yang dapat kita ketengahkan mereka juga sedikit sebanyak dapat melepaskan kerinduan di samping dapat mengetahui perkembangan terkini antara masyarakat di Negara kita lebih erat dan kukuh. Oleh itu, rumah terbuka ini patut diteruskan dari generasi ke generasi sehingga tiada titik noktahnya.

            Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan dalam kepentingan amalan rumah terbuka kepada Negara ialah menarik perhatian pelancong yang dapat merealisasikan suatu perkembangan yang maju untuk Negara. Rumah terbuka telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kemajuan Negara kita selama ini. Antaranya ialah penganjuran rumah-rumah terbuka merupakan persembahan kepada pelancong asing yang datang melancong di Negara kita. Hal ini kerana mereka bukan sahaja datang ke Malaysia untuk melancong dan menikmati keindahan Negara tetapi mereka juga dapat mengalami dan memahami sendiri keunikan dan keharmonian pelbagai kaum di Negara ini semasa menyambut perayaan kaum masing-masing. Memetik kata-kata hamka, bagaimanapun jua kita hidup mesti beradat, dihapus adat lama pasti timbul adat baru. Kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri berkenaan telah pun mengadakan Majlis Rumah Terbuka Malaysia ketika hari raya. Pengalaman pelancong asing meraikan perayaan-perayaan yang terdapat di Malaysia akan menjadikan nama Malaysia sentiasa meniti dari bibir ke bibir mereka sekaligus dapat menaikkan industri pelancongan Negara. Izharlah bahawa konsep rumah terbuka dapat memberikan persembahan yang harmoni terhadap pelancong asing.

            Sebenarnya, amalan rumah terbuka yang diwujudkan banyak memberikan kepentingan terutamanya dalam memperkenalkan budaya dan adat resam kaum lain di Negara kita. Dalam hal ini, mereka hanya akan meraikan perayaan itu bersama-sama walaupun mereka berbeza latar belakang, budaya dan juga agama. Sebagai contohnya, orang-orang Cina, India, Iban dan Kadazan akan merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. Amalan ini juga membolehkan setiap kaum mengenali jamuan kaum-kaum lain, memahami antara satu sama lain selain didedahkan kepada adat resam dan pantang larang rakan-rakan mereka sendiri. Perkara ini sudah tentu akan mewujudkan budaya yang sihat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Negara kita. Secara tidak langsung, semangat toleransi akan tersemai dalam kalangan generasi sekarang. Tuntasnya, budaya dan adat resam kaum lain dapat dipelajari melalui amalan murni ini.
           
            Dalam merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama ibarat ke bukit sama didaki ke lurah sama dituruni bagi menyokong amalan rumah terbuka ini. Jika tidak, kita akan dipandang rendah oleh Negara lain. Semoga kita dapat melahirkan masyarakat dan Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Buktinya ialah kerajaan tidak boleh melaksanakan tugas seperti melepaskan batuk di tangga. Manakala, masyarakat pula tidak sewajarnya mengamalkan peribahasa enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dalam menyokong isu ini. Yang pasti, jika amalan murni ini dibudayakan sudah pasti hasrat negara untuk mencapai Gagasan Satu Malaysia akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat Jenin. Kerjasama yang erat akan dapat merealisasikan hasrat Perdana Menteri yang bertepatan dengan slogan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.       

(930 patah perkataan)